Serpihan pintu pesawat disyaki MH370 ditemui

Serpihan pintu pesawat disyaki MH370 ditemui

SAINT-DENIS 2 Ogos - Sebuah serpihan pintu pesawat yang dihanyutkan ke Pulau La Reunion, ditemui penduduk tempatan hari ini, kurang seminggu selepas penemuan serpihan sayap yang dipercayai milik pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi pada Mac tahun lalu.

Menurut laporan portal Sky News, serpihan pintu pesawat itu ditemukan tidak jauh daripada tempat penemuan flaperon iaitu serpihan pesawat yang kini telah dihantar ke Perancis untuk dianalisis bagi mengesahkan sama ada ia milik pesawat MH370 atau sebaliknya.

Menurut wartawan David Bowden, objek yang baharu dijumpai di selatan bandar Saint-Denis itu sedang diuji oleh pakar tempatan tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia mempunyai kaitan dengan pesawat MAS yang hilang pada 8 Mac tahun lalu itu.
Jelasnya, terdapat tulisan bahasa Cina dan Melayu pada objek berukuran 30 sentimeter persegi dan dipercayai merupakan bahagian di dalam pesawat.

“Objek itu diletakkan di dalam kotak oleh anggota polis sebelum dibawa pergi dan mereka enggan mengulas lanjut tentang penemuan tersebut,” katanya.
Objek yang dipercayai serpihan daripada pintu pesawat itu dijangka dihantar ke Perancis dalam tempoh terdekat untuk diuji oleh pakar penerbangan di Toulouse, lokasi yang sama serpihan sayap yang ditemui sebelum ini dianalisis.

Pesawat MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing sebelum hilang di selatan Lautan Hindi.
Sementara itu, serpihan flaperon yang ditemui empat hari lepas, selamat tiba di pusat ujian penerbangan di bandar Toulouse, selatan Perancis, semalam dan akan diuji pada Rabu ini.
Dalam perkembangan sama, pakar forensik di Pulau La Reunion juga akan menjalankan ujian Asid Deoksiribonukliek (DNA) ke atas beg pakaian yang ditemui bagi mencari kemungkinan sama ada ia mempunyai kaitan dengan MH370.

Pejabat akhbar National Gendarmerie mengesahkan beg terbabit diserahkan ke Institut Kajian Jenayah National Gendarmerie di Pointoise, barat daya Paris untuk menguji sama ada mempunyai persamaan DNA dengan ahli keluarga mangsa yang dikumpul sebelum ini.
Beg pakaian tersebut ditemui sehari selepas penemuan serpihan sayap pesawat di pesisiran pantai Saint-Andre, kira-kira 4,000 kilometer dari kawasan misi pencarian MH370 di selatan Lautan Hindi.

SHARE

Nama Penulis

Biodata Penulis

  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
  • Image
    Blogger Comment
    Facebook Comment